Friday, 22 February 2008

Cukai di Malaysia Berbanding Negara-negara Kebajikan

Selalu dicanangkan oleh pimpinan BN dan tokoh-tokoh perseorangan yang dungu, bahawa dengan melaksanakan Negara Kebajikan di Malaysia negara akan bangkrap atau muflis. Mereka menyebut bahawa sekiranya PAS hendak melaksanakan Negara Kebajikan maka sudah tentu cukai yang dikenakan kepada rakyat akan meningkat. Kesemua kenyataan tersebut cuba membohongi rakyat kerana cukai yang telah sedia ada di Malaysia sememangnya telah tinggi malah kadang-kadang lebih tinggi daripada negara-negara yang melaksanakan konsep Negara Kebajikan. Di sini didedahkan tentang perbandingan cukai yang dikenakan kepada rakyat Malaysia berbanding dengan cukai di negara-negara yang diperakui sebagai Negara Kebajikan iaitu Sweden, United Kingdom (UK), Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Keempat-empat negara diperakui telah melaksanakan agenda-agenda bagi sebuah Negara Kebajikan sama ada kepada rakyatnya atau termasuk rakyat asing yang bermastautin di sana.

a. Cukai Syarikat atau Korporat.

Malaysia (28%)
Sweden (28%)
UK (30%)
Arab Saudi (20%)
UAE (0%)

Berdasarkan fakta di atas jelas menunjukkan bahawa cukai syarikat di Malaysia tidak jauh bezanya dengan cukai syarikat di negara-negara yang melaksanakan konsep Negara Kebajikan, malah bagi Arab Saudi yang penduduk hampir sama jumlah dengan penduduk Malaysia hanya mengenakan cukai syarikat sebanyak 20%. Manakala UAE langsung tidak mengenakan cukai syarikat. Walaupun kedua-dua negara ini kaya dengan Petroleum, dari segi KDNK mereka tidaklah begitu jauh dengan Malaysia yang berada di tangga ke-39, manakala UAE di tangga ke-38 dan Arab Saudi di tangga ke-25. Walaupun diakui bahawa KDNK perkapita kedua-dua negara ini lebih tinggi, tetapi dengan cukai yang rendah sehingga 0% dan pada masa yang sama diwujudkan pula agenda-agenda Negara Kebajikan menunjukkan pengagihan kekayaan negara mereka lebih baik daripada Malaysia.

b. Cukai Individu

Malaysia (0-28%)
Sweden (0-56%)
UK (0-40%)
Arab Saudi (20%)
UAE (0%)

Berdasarkan fakta di atas jelas menunjukkan bahawa kadar cukai di negara-negara yang mengamalkan konsep Negara Kebajikan tidak begitu berbeza dengan Malaysia. Di Sweden kadar maksima cukainya mencecah sehingga 56%, manakala di UK kadar cukai maksimanya mencecah sehingga 40% sebagai kadar yang munasabah dikenakan kepada golongan-golongan terkaya. Walaupun kelihatan kadar cukainya agak tinggi tetapi sebenarnya ia tidak begitu membebankan rakyat. Sebagai contoh di UK seseorang yang berpendapatan kurang daripada £5525 setahun dikecualikan daripada membayar cukai. Nilai kuasa beli £5525 atau sekitar £460 sebulan ini sebenarnya sudah cukup besar. Pendapatan bulanan £460 ini sudah mencukupi menampung hidup seseorang individu di UK. Harga barangan makanan di UK adalah begitu murah jika dinisbahkan kepada pendapatan £460 sebulan ini. Contohnya harga sebungkus roti boleh dibeli dengan kadar serendah £0.28, beras sekilo serendah £0.60 dan ayam seekor serendah £1.40. Malah kereta Proton Wira terpakai di UK boleh dibeli dengan harga serendah sekitar £300-400. Bagi mereka yang berpendapatan sehingga £39500 setahun dikenakan cukai antara 10-22% iaitu kadar yang tidak jauh berbeza dengan Malaysia. Fakta-fakta ini menunjukkan bahawa kadar cukai di UK yang melaksanakan konsep Negara Kebajikan tidaklah begitu berbeza dengan Malaysia. Manakala bagi kedua-dua negara Arab Saudi dan UAE sememangnya jaub lebih rendah daripada Malaysia.

c. Cukai Jualan dan Perkhidmatan

Malaysia (0-25%)
Sweden (25%)
UK (17.5%)
Arab Saudi (0%)
UAE (0%)

Berdasarkan fakta di atas sekali lagi menunjukkan bahawa kadar cukai di Malaysia tidak begitu berbeza dengan kadar cukai di negara-negara yang melaksanakan konsep Negara Kebajikan. Malaysia sebenarnya mengenakan dua jenis cukai iaitu Cukai Jualan 0-25% dan Cukai Pekhidmatan 5%. Biasanya kadar Cukai Jualan di Malaysia ialah 10%, manakala terdapat barangan keperluan dan makanan dikenakan cukai 5%. Bagi Sweden dan UK ditetapkan kadar cukainya iaitu 25% dan 17.5% yang lebih dikenali dengan VAT (Value-Added Tax). Tetapi di Sweden dan UK tiada cukai tambahan seperti Cukai Perkhidmatan di Malaysia. Terdapat barangan-barangan tertentu yang bebas VAT seperti barangan makanan, buku-buku, pakaian kanak-kanak dan lain-lain. Oleh sebab itu, kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan di kedua-dua negara ini hampir sama dengan Malaysia, malah kadang-kadang lebih tidak membebankan. Manakala bagi negara Arab Saudi dan UAE tiada dikenakan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan.

Penjelasan tentang perbandingan cukai-cukai di atas membuktikan bahawa pelaksanaan sebuah Negara Kebajikan tidak semestinya melibatkan kenaikan cukai, malah kelihatan cukai yang dikenakan lebih tidak membebankan. Masalah utama untuk melaksanakan Negara Kebajikan di Malaysia bukannya kekurangan sumber pendapatan sebaliknya kegagalan Kerajaan BN menguruskan hasil cukai dengan telus dan amanah, sehingga kadar cukai tinggi yang dikenakan tidak memberikan pulangan kebajikan kepada seluruh rakyat.

Wednesday, 20 February 2008

Surat Hassan al-Basri Tentang Negara Kebajikan

Seperti yang tercatat dalam sejarah Islam, semasa zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz ra, wilayah pentadbirannya berada dalam kemakmuran. Sehingga disebut apabila dicari golongan yang berhak menerima zakat, hampir sukar diperolehi. Pemerintahan Umar bin Abdul Aziz ini menjadi satu fakta sejarah yang kuat untuk menunjukkan bahawa pelaksanaan Islam boleh membawa kemakmuran. Umar bin Abdul Aziz semasa menjadi Gabenor Madinah sebelumnya dikenali sebagai seorang yang mewah sehingga sekiranya seseorang berada di pasar Madinah boleh mengetahui kehadiran beliau dengan mencium keharuman haruman yang digunakan. Akan tetapi apabila beliau dilantik menjadi Khalifah beliau telah mengembalikan harta-hartanya untuk kepentingan seluruh umat Islam. Oleh sebab itu asas terpenting kepada pelaksanaan Negara Kebajikan ialah kesederhanaan hidup pemimpinnya. Difahamkan bahawa surat Hassan al-Basri banyak memberi panduan kepada Umar bin Abdul Aziz dalam mentadbir wilayah kekuasaannya:

"Ketahuilah wahai Amiral Mukminin, sesungguhnya Allah menjadikan pemimpin yang adil sebagai yang meluruskan segala perlakuan yang menyimpang, menunjuki jalan kepada golongan yang melakukan kesalahan, mengislahkan golongan yang melakukan kerosakan, memperkuatkan golongan yang lemah, membela golongan dizalimi, memenuhi keperluan golongan yang meminta-minta. Dan pemimpin yang adil itu adalah seperti gembala yang pembelas atas gembalaannya, yang penyantun kepada gembalaannya. Dan pemimpin yang adil itu wahai Amiral Mukminin, seperti bapa yang penyayang terhadap anaknya..." (sebahagian petikan surat Hassan al-Basri kepada Umar bin Abdul Aziz)

Wednesday, 13 February 2008

Manifesto Negara Kebajikan PAS (7)

Teras Kesepuluh

Menyedari kedudukan amalan media yang masih jauh dari menghayati dasar penyiaran yang membela nilai-nilai kebenaran, beretika dan bertaraf dunia, maka wajar reformasi kea rah penambahbaikan dilakukan denghan segala komitmen dan tanggungjawab.

Selaras dengan itu Manifesto PAS mengajukan pilihan berikut kepada rakyat.

Dasar, Etika dan Amalan Media Massa Adil, Bersih dan Demokratik dengan memajukan polisi-polisi berikut:

Menggubal dasar media massa negara yang lebih mendedahkan rakyat kepada maklumat yang seimbang.

Menyediakan akses atau capaian kepada media setiap parti politik yang sah untuk menjelaskan komitmen dan manifesto mereka.

Memastikan tiada penyalahgunaan media massa untuk manipulasi pemikiran rakyat oleh pihak penguasa dan lain-lain.

Memperkasa perlaksanaan etika media massa di kalangan khalayak media, stake holders atau pemilik media dan rakyat.

Mengarusperdanakan konsep ketelusan media amalan dan operasi media massa untuk meningkatkan pengetahuan serta kebijaksanaan rakyat bagi mengamalkan serta membudayakan politik-berteraskan-pengetahun.



Teras Kesebelas

Menginsafi ancaman pemanasan global yang merubah sistem cuaca dan perimbangan alam sekitar sekaligus menjadi ancaman nasional yang mengakibatkan berlakunya pelbagai bencana alam dan perubahan cuaca tak menentu seperti banjir, kemarau baik di kawasan bandar mahupun desa;

maka PAS mengambil inisiatif untuk melakukan persiapan dan bantuan dengan cara:

Pembinaan sistem pengairan yang menjimatkan penggunaan air secara terkawal bagi mengurangkan kos pengeluaran pertanian disamping penjimatan air bagi menghadapi musim kemarau tak menentu..

Memulihara kawasan tadahan hujan, hutan simpanan dan hutan perlindungan hidupan liar yang telah dirizabkan.

Jalinan kerjasama bersama badan-badan yang relevan berkenaan pemanasan global dalam isu krisis makanan di peringkat antarabangsa dan nasional bagi memberi bantuan kepada para petani dan pengusaha makanan dalam menghadapi kesan pemanasan global.

Menyediakan tabung kecemasan bencana kepada para pengusaha makanan dan petani untuk menampung kos kerugian akibat kesan bencana alam seperti banjir, kemarau dan serangan penyakit kepada tanaman.

Pemansuhan penggunaan sebarang bahan kimia dalam pengeluaran produk makanan dengan pemberian subsidi melalui pembekalan baja organik untuk hasil yang lebih selamat untuk pengguna disamping melindungi kesuburan tanah dan sumber air daripada tercemar dengan bahan kimia.



Teras Keduabelas

Berlatarbelakangkan scenario politik dan hakikat perpaduan nasional yang kerap diancam dengan pelbagai ketegangan kaum akibat amalan politik perkauman dan manipulasi agama, maka Manifesto PAS mengemukakan serta menjanjikan kepada rakyat:

Dasar Perpaduan Nasional dengan polisi berikut:

· Merangka dasar perpaduan yang diperkukuhkan dengan sikap saling hormat- menghormati atas dasar saling mengetahui tuntutan agama terhadap penganut agama masing-masing.

· Menjamin penubuhan sebuah Majlis Perundingan penganut agama-agama (selain Islam) oleh Kerajaan bagi mempastikan hak-hak setiap kelompok penganut agama untuk melaksanakan tuntutan upacara ibadat dan budaya masing-masing.

· Mencadangkan penubuhan satu Majlis Dailog ke arah memperkukuhkan permuafakatan dan perpaduan nasional merentasi semua kaum.

Manifesto Negara Kebajikan PAS (6)

Teras Kelapan

Menyedari kepentingan pengupayaan wanita supaya bersama-sama kaum lelaki dalam pembinaan institusi keluarga mahupun pembangunan negara maka Manifesto ini memajukan:

Tawaran Istimewa Bagi Kaum Wanita, antara lainnya:

• Memperkenalkan cuti bersalin 90 hari dan cuti kebapaan 7 hari tanpa had bilangan anak.

• Elaun Khas buat ibu tunggal dan memperkenalkan Takaful Armalah.

• Menggalakkan majikan memperkenalkan konsep bekerja dari rumah untuk para wanita. Ini dapat dilaksanakan dengan memberikan pelepasan cukai kepada perbelanjaan syarikat untuk membeli peralatan pejabat dan komunikasi untuk memboleh konsep ini dilaksanakan dalam syarikat mereka.

• Cuti ehsan 14 hari untuk yang mereka yang kematian pasangan.

• Untuk kesihatan dan kegiatan sukan, PAS akan mewujudkan Pusat Sukan dan Rekreasi Khusus untuk kaum wanita.

• Waktu kerja Anjal akan terus diperkasakan bagi memenafaat serta tidak mengorbankan kepentingan institusi keluarga.

• Mengenalkan undang-undang bagi mengelakkan wanita dieksploitasi untuk kepentingan komersial.



Teras Kesembilan

Meskipun telah dibentangkan pelbagai program pembangun wilayah dan koridor mutakhir ini, sektor pertanian masih merupakan impian yang terawang-awang yang belum berpijak di bumi nyata (terlalu diangkasakan).

Maka adalah menjadi komitmen PAS dalam hal memperjuangkan nasib petani dan nelayan di negara ini dengan Manifesto PAS menawarkan untuk:

Memajukan Industri Pertanian sekaligus Membela Kaum Petani dan Nelayan dengan polisi-polisi berikut:

Mewujudkan dasar pertanian sebagai industri yang menjamin Dasar Makanan yang memelihara ‘Kemerdekaan dan Keselamatan Negara’ supaya tidak terdedah dan terjejas kepada manipulasi kuasa dunia dan ‘kartel’ atau pakatan konglomerast besar tempatan mahupun antarabangsa.

Menolak sebarang bentuk Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang mengancam pelbagai industri khususnya pertanian dan pelbagai aspek urus-tadbir pemerintahan dalam negara.

Pengurangan bahan makanan import untuk memberi insentif kepada petani tempatan untuk bersaing dengan lebih baik pada masa yang sama berusaha melipat gandakan pengeluaran untuk pasaran tempatan.

Meningkatkan kualiti hidup nelayan pantai dengan menyediakan perumahan tersusun serta mewujudkan peluang-peluang baru pekerjaan di dalam kegiatan ekonomi berasaskan perikanan tajaan Kerajaan atau Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) agar setiap keluarga nelayan mempunyai pendapatan bulanan melebihi RM1200 sebulan.

Penubuhan bank benih tanaman agar dapat melindungi para petani tradisional daripada dieksploitasi oleh syarikat besar yang kerap kali merampas hak mereka melalui permeteraian harta intelektual biji.

Harga minima belian padi yang dinilai setiap tiga tahun sekali berpandukan Indeks Harga Pengguna (CPI).

Mengawal harga input pertanian (benih, baja, racun, jentera pertanian) dengan memecahkan monopoli impot bagi bahan-bahan di atas.

Menawarkan peluang menjadi peserta Felda bagi generasi kedua Felda dan mana-mana rakyat yang memerlukan ladang-ladang yang diusahakan oleh Felda Plantations atau dengan membuka tanah-tanah baru.

Membenarkan peserta Felda untuk berdikari dalam pengurusan ladang milik mereka ke arah menjana pulangan pendapatan maksima kepada mereka.

Mengembalikan hak peneroka untuk mendapatkan wang tanam semula dari Tabung Tanam Semula tanpa sebarang syarat.

Menggunakan keuntungan Felda Holdings Bhd dengan mewujudkan program-program yang bersifat Cakna Rakyat Petani agar manfaatnya kembali kepada golongan peneroka dan keluarga mereka.

Manifesto Negara Kebajikan PAS (5)

Teras Keenam

Memandangkan pembelaan rakyat semakin terabai sementara kos saraan hidup semakin meningkat, maka Manifesto PAS menawarkan:

Kebajikan Pekerja Sektor Awam dan Swasta dengan menekankan:

• Melaksanakan Akta Gaji Minima berdasarkan permuafakatan di antara majikan dan kesatuan sekerja, sesuai jenis pekerjaan dan dengan keperluan tuntutan kualiti hidup yang paling menasabah antara RM 700-1200.

• Menghapuskan sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan menggantikannya dengan suatu sistem baru yang dipersetujui bersama dengan Kesatuan Sekerja.

• Memastikan gaji permulaan (graduan dan juga bukan graduan) dipertingkatkan sesuai dengan tahap inflasi kini, serta menjalankan semakan dan pelarasan gaji dan saraan setiap lima (5) tahun. Pelarasan ini akan berdasarkan CPI (Indeks Harga Pengguna, IHP).

• Memastikan Elaun Kos Sara Hidup (COLA) akan dikaji setiap lima (5) tahun, juga berdasarkan CPI.

• Memastikan kakitangan kerajaan boleh mengikuti perkembangan politik termasuk menjadi ahli mana-mana parti politik pilihannya tanpa kongkongan selagi mana kualiti kerja tidak terjejas.

• Potongan cukai untuk individu adalah sebanyak RM12,000 setahun (sekarang RM8,000).



Teras Ketujuh

Memandangkan kos saraan hidup terus meningkat dan meletakkan rakyat termiskin semakin tertekan maka, Manifesto PAS ini menawarkan:

Pembelaan Kebajikan Menyeluruh Mesra-Rakyat dengan cara:

• Menghapuskan status ’leasehold’ atau ’pegangan secara pajakan’ ke atas tanah-tanah kediaman dengan mengubah statusnya kepada ’freehold’ begi memberikan pengiktirafan hak yang kekal dan boleh diwarisi.

• Menggabungkan satu peranan Pejabat Hasil Dalam Negeri (IRB) dengan aspek keperluan Pusat Kebajikan Masyarakat (PKM).

• PKM diperkasakan untuk membantu golongan yang miskin dengan lebih meluas dan berkesan bagi mengeluarkan mereka dari belenggu kemiskinan dengan program pengkeupayaan dan mikro-kredit.

• Meneliti kembali pemberian Permit Impot (AP) bagi barangan makanan (foodstuffs) utama seperti gandum, gula dan beras supaya tidak berlaku Monopoli dan Pakatan (Cartels) yang mencekik pengguna.

• Menghapuskan tol dengan kerajaan membeli dan memilikki kembali lebuhraya-lebuhraya dari pemilik konsesi.

Manifesto Negara Kebajikan PAS (4)

Teras Keempat

Merakamkan pelbagai keceleruan di bidang pendidikan akibat mengalami polisi yang kerap berubah (flip-flop) serta pengangguran graduan yang tinggi dan kejatuhan taraf ranking universiti awam akibat tekanan politik dan campurtangan Eksekutif yang mengekang pertumbuhan institusi-institusi ini, maka Manifesto PAS menawarkan:

Pendidikan Menyeluruh Pemacu Perubahan yang antara lainya menekankan:

Penegasan tonggak akhlak dan moral para pelajar sebagai teras pembinaan sahsiah pelajar.

Melindungi ‘Pendemokrasian Pendidikan’ dengan kewujudan pilihan sekolah-sekolah termasuk pendidikan Islam (SAR), serta bahasa ibunda (Cina dan Tamil). Mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Ibunda masing-masing. Memberi sejumlah peruntukan kepada SAR dan sekolah swasta jenis Cina berdasarkan jumlah pelajar.

Peluang kepada pelajar-pelajar dari sekolah agama rakyat untuk memasuki sekolah-sekolah berasrama penuh.

Memberi peruntukan khas bagi PIBG kepada sekolah-sekolah luar bandar bagi membantu kegiatan meningkatan pencapaian akademik.

Memberikan autonomi kepada sekolah untuk mengawal dan mengurus disiplin para pelajar.

Meningkatkan bantuan perbelanjaan per kapita mengikut penilaian Indeks Harga Penggguna (CPI) kepada sektor pendidikan termasuk kos-kos buku kerja.

Menghapuskan semua yuran sampingan persekolahan seperti yuran PIBG dan kokurikulum.

Penekanan kepada sistem pendidikan berteraskan ‘Berfikir’ – ‘thinking-based education’ dan bukan ‘berteras-peperiksaan’ (exam-based education).

Memperkasakan pendemokrasian pendidikan dengan penetapan subjek ‘core’ atau ’teras’ seperti sejarah, budaya, agama dan moral, bagi menjayakan misi perpaduan nasional melalui pendidikan.

Menekankan tumpuan selain akademik bagi lepasan sekolah bagi meningkatkan aspek latihan berteraskan ketrampilan atau ’skilled-based apprenticeship’ bagi melebarkan peluang pekerjaan dan guna tenaga secara penuh dan menyeluruh.

Memperkasa IPT dan Memacu Penjelmaan Institusi Pendidikan Berprestasi Tinggi

Menjana iklim akademik di ‘menara gading’ bagi menghasilkan ciri-ciri graduan: ‘berdaya saing dan berdikari-competitively enterprising’, ‘bermoral-bersahsiah mulia’- ‘morally- spiritually vibrant’ dan berintelek tinggi-‘intellectually superior’.

Menghapus kira semua pinjaman tertunggak PTPTN

Mengembalikan pendidikan tinggi (ijazah pertama) secara percuma.

Mengembalikan semula pemberian biasiswa sebagaimana yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan berdasarkan kelayakan.

Menambah tempat belajar di IPTA.

Memansuhkan beberapa peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang mengongkong hak dan kebebasan mahasiswa dan tenaga akademik.

Menjana Institusi Pendidikan Berprestasi Tinggi dengan penambahan peruntukan R&D yang setara dengan dunia maju (yakni 2-3% dari Belanjawan).



Teras Kelima

Memandangkan kos rawatan di hospital swasta mahupun awam terus meningkat dan keupayaan rakyat untuk menampung kos menjaga kesihatan ini semakin berkurang, maka Manifesto PAS ini menawarkan:

Jaminan Perkhidmatan Kesihatan Rakyat dengan polisi-polisi berikut:

• Mewujudkan Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional (SPKN) setiap rakyat yang tidak mempunyai Skim Perlindungan Kesihatan daripada majikan masing-masing agar dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang berkualiti di semua hospital kerajaan atau pun swasta.

• Membatalkan Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan dan Hospital yang membebankan rakyat dan menguntungkan pihak swasta dan korporat tertentu yang punya kaitan dengan elit politik tertinggi.

• Penjagaan kesihatan percuma sepenuhnya untuk kanak-kanak dan ibu-ibu mengandung.

Manifesto Negara Kebajikan PAS (3)

Teras Kedua


Menginsafi kedudukan Malaysia sebagai negara yang kaya dengan hasil mahsul seperti minyak, kayu-kayan serta hasil galian, sementara sektor pembuatan dan perkhidmatan mampu diperkembangkan, negara kini kehilangan daya-saing bahkan semakin buruk dikacamata masyarakat bisnes antarabangsa. Ini mesti dibaikpulih segera dengan usaha membanteras segala kepincangan, rasuah dan kronisme yang telah menggagalkan pencapaian DEB dan matlamat dasar-dasar pembangunan yang lain. Maka Manifesto PAS ini menawarkan:

Pengurusan Berhemat (Pruden) Kekayaan Negara dengan polisi berikut:

Meletakkan PETRONAS di bawah seliaan Parlimen (dan bukan lagi di bawah Perdana Menteri) seperti trend terkini dibeberapa buah negara atas perkiraan ketelusan dan pertanggungjawaban.
Mempastikan harga petrol dan disel kekal ’menasabah’ dengan pendekatan ’subsidi’ bagi menangani ’inflasi’ harga barang keperluan dan kos perkhidmatan.

Menyusun kembali prioriti pembangunan supaya ’pertumbuhan’ bukan sahaja akibat dari kegiatan pembinaan dan infrastruktur mega-mewah, tetapi mestilah menepati dan selaras dengan strategi dan prioriti pembangunan mapan sementara menjana pekerjaan dan mengawal inflasi.

Menumpukan kekayaan hasil minyak akan diutamakan untuk pembangunan potensi insan serta penyelidikan dan pembangunan R&D termasuk sumber tenaga alternatif untuk menggantikan sumber petrol dan gas.

Merapatkan jurang agihan kekayaan antara kaya-miskin dalam kaum dan antara kaum dengan menekankan aspek pendidikan dan peningkatan sumber pendapatan bagi meningkatkan jumlah pendapatan dan keupayaan keluar dari garis kemiskinan serta meningkat mobiliti sosial mereka.

Menekankan program pembasmian kemiskinan mengikut ’Keperluan’ di kalangan golongan miskin dan berpendapatan rendah tanpa mengira ras atau kaum.

Melebarkan golongan kelas menengah dalam semua kaum bagi memperkukuhkan ekonomi dengan meningkatkan kuasa membeli serta perbelanjaan (juga pelaburan) domestik dan kestabilan perimbangan antara kaum.



Teras Ketiga


Menyedari hakikat bahawa negara telah terjerumus dalam bahaya-bencana jenayah dengan pelbagai kejadian jenayah kekerasan seperti culik, bunuh, rogol, rompak dan menyamun secara bersenjata atau tanpa senjata, maka Manifesto PAS menawarkan:

Jaminan Keselamatan Nyawa, Kehormatan dan Harta Benda dengan Membenteras Jenayah dengan polisi dan komitmen berikut:

Menubuhkan segera dan memperkasakan Suruhanjaya Bebas Salah-Laku Polis dan Komplain –IPCMC serta menolak Rang Undang-undang Suruhanjaya Aduan Khas (SCC) yang membelakangi 125 cadangan-cadangan Suruhanjaya di Raja Pembaikan Polis.

Menjadikan PDRM sebuah Pasukan Keselamatan yang profesional, mesra-rakyat, bebas dari pengaruh pihak Eksekutif dan tekanan orang politik serta membantu pihak Kehakiman bagi melaksanakan penyiasatan dengan profesional dan berkesan sehingga mampu membenteras jenayah dan menjamin keselamatan rakyat.

Mengangkat amalan Integriti dan Amalan Terbaik (Best Practise) dalam semua urus-tadbir kementerian, agensi kerajaan khususnya pihak keselamatan seperti PDRM dengan mempastikan, antara lainya, pengambilan pegawai dan promosi ke kedudukan yang tinggi mesti memilikki keupayaan dan integriti yang mantap.

Memerangi amalan Rasuah, Kronisme dan penyalahgunaan kuasa dengan pendekatan secara Menyeluruh (integrated) dengan ajaran Agama, bimbingan Moral bagi menangani punca rasuah: kerakusan dan ketamakan yang digalakkan dengan urus-tadbir yang pincang serta tidak telus. Pendekatan Undang-undang sebagai hukuman yang benar-benar menakutkan dan meninggalkan kesan ’gerun’ atau ’deteren’ serta takut kepada ancaman Allah dan hukuman pihak penguasa wajar diperkasakan.

Manifesto Negara Kebajikan PAS (2)

Dengan ini PAS menyeru sokongan dan penggemblengan tenaga seluruh lapisan masyarakat; parti-parti politik, kakitangan kerajaan, badan-badan bukan-kerajaan (NGO), wanita, golongan pemuda serta seluruh lapisan rakyat, merentasi pelbagai anutan agama, bangsa dan budaya, yang turut berasa bertanggungjawab terhadap nasib mereka serta masa depan negara yang dicintai, supaya bersama membuat perubahan bagi:

Membela kebajikan rakyat dan kepentingan negara melalui pengurusan ekonomi yang bijak dan pembangunan seimbang, mesra-manusia dan mesra-alam.

Melindungi keselamatan seluruh lapisan rakyat khususnya kaum wanita dan kanak-kanak, dari ancaman jenayah.

Memulihkan maruah dan integriti negara dengan membenteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Mempertahankan keluhuran dan kedaulatan undang-undang dengan mengembalikan kewibawaan dan integriti institusi kehakiman.

Mengembalikan amalan demokrasi tulen dan pilihanraya bebas, adil dan bersih.

Menamatkan keangkuhan dan penguasaan kuasa mutlak Umno/BN di parlimen.

Kesemua matlamat ini akan hanya dapat kita capai dengan melakukan perubahan dan pilihan bijak dalam pilihanraya umum ke-12 ini. Marilah sama-sama kita memainkan peranan kita sebagai warga negara yang bertanggungjawab dan mempastikan wujud unsur ’semak-imbang’ yang berkesan dalam amalan demoikrasi di negara ini.

Anda Mampu Mengubahnya!



Teras Pertama

Menyedari segala kepincangan pemerintahan yang ada kini, khususnya amalan rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa yang menjejaskan integriti dan kewibawaan institusi-institusi penting dalam kerajaan, maka Manifesto ini menawarkan:

Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih:

Menginstitusikan dan memperkasakan amalan ‘Pemisahan Kuasa’ Legislatif, Kehakiman dan Eksekutif, supaya amalan Demokrasi Berfungsi dan Berkesan serta tidak dicerobohi dan dipintas oleh pihak Eksekutif.

Menegaskan penghayatan Islam sebagai Ad-Deen bagi ummat Islam di negara ini.

Menjamin perlaksanaan peruntukan-peruntukan Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menyegerakan kelulusan ’Rang Undang-Undang Hak Mendapatkan Maklumat’ bagi memperkasa rakyat yang bermaklumat.

Memperkukuh agensi-agensi’Pemantau’ (Watchdog) seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR), Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan lain-lain. dengan sumber dan mandat supaya tidak terbelenggu kepada mana-mana pihak dan terus bertanggungjawab kepada Parlimen.

Melindungi kedudukan Pelapor atau ”Whistleblowers” dengan jaminan kerahsian demi mempertahankan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.

Meminda dan/atau menghapuskan Akta-Akta Zalim yang menyekat Hak dan Kebebasan Rakyat seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Polis, Akta Percetakan dan Penerbitan (PPA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Menghapuskan Akujanji di kalangan kakitangan kerajaan.

Menjamin sistem Pilihanraya yang Bebas, Adil dan Bersih dengan reformasi sistem dan proses Pilihanraya secara menyeluruh seperti yang dituntut oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH).

Meningkat amalan dan urus-tadbir kerajaan dengan berpandukan amalan terbaik (Best Practice) dalam jabatan-jabatan awam, agensi-agensi serta syarikat yang berkaitan kerajaan supaya menjauhi rasuah dan ketirisan dalam sistem penghantaran awam khususnya dalam pembekalan awam (public procurement) projek mega-mewah melalui tender terbuka dengan penubuhan Badan Tender Bebas di bawah kuasa Parlimen.

Memastikan masjid dimakmurkan oleh masyarakat tempatan dan tempat-tempat ibadat tidak boleh dimusnahkan tanpa perundingan dan kelulusan masyarakat setempat.

Menubuhkan Suruhanjaya Kehakiman di bawah Parlimen yang bertanggungjawab melantik Hakim-Hakim berdasarkan merit dan integriti serta menambahbaik pengurusan bagi meningkatkan kewibawaan institusi Kehakiman dengan menguatkuasakan etika kehakiman yang terbaik..

Manifesto Negara Kebajikan PAS (1)

Manifesto Parti Islam Se-Malaysia (PAS) PRU ke-12

’Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih’
Negara Berkebajikan


Para Pengundi yang dihormati,

Menuntut Demokrasi Sebenar

Demokrasi bukan hanya pilihanraya. Demokrasi sebenar semesti mendukungi keluhuran undang-undang, keadilan capaian maklumat dan media serta menjalankan proses and sistem pilihanraya yang bebas, bersih dan adil.

Sesungguhnya demokrasi sebenar mengizinkan rakyat dan pengundi untuk menentukan kerajaan yang mereka mahu. Pilihanraya yang bebas, adil dan bersih menjamin kehendak rakyat tertunai. Andainya pilihanraya dipenuhi penipuan, kepincangan dan ketidakadilan, maka ia menjadikan hasrat rakyat untuk mengecapi demokrasi sebenar kecundang.

PAS Komited, Meskipun Pilihanraya Tempang dan Curang

PAS adalah parti Islam yang memperjuangkan dasar-dasar Islam serta nilai-nilai keadilan sejagat. PAS terus akan menyertai pilihanraya meskipun ia curang dan tempang, bagi memperjuangkan keadilan dan membenteras kezaliman dalam proses ’semak-imbang’ yang dianjurkan oleh Allah SWT sebagaimana yang termaktub dalam ayat Surah Al-Baqarah: ayat 251.

”Kalaulah Allah tidak menolak dan mengimbangi kezaliman sesetengah manusia dengan golongan lain, maka rosak dan musnahlah seluruh muka bumi ini”.

Sejak lebih 50 tahun, PAS telah membuktikan komitmen kami terhadap mempertahankan kedaulatan negara, kesejahteraan rakyat dan kesucian Islam, walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran getir, rintangan dan ujian bersaing di atas padang politik yang tidak sama-rata.

Negara Dalam Krisis

Menjelang pilihanraya ke-12 ini, negara terus dilingkungi krisis. Walaupun pemimpin Umno/BN bercakap tentang ’cemerlang, gemilang dan terbilang’, Allah SWT sebaliknya menempelak omongan ini dengan mendedahkan pelbagai kebejatan dan kebobrokan pemerintahan ini. Pembangunan dan kemajuan yang dimegah-megahkan, tidak dikecapi rakyat, sebaliknya rakyat diancam kadar jenayah yang menakutkan dan kos saraan hidup yang membebankan.

(i) Rakyat Terhempit Barang Naik

Rakyat kini dibeban kenaikan kos saraan hidup dan dihempit dengan kenaikan harga barang yang menyusahkan. Sementara pembangunan dikatakan pesat dan kemajuan dan pertumbuhan rancak, rakyat menanggung kesangsaraan kenaikan kos hidup akibat subsidi petrol dan disel ditarik-balik. Inflasi terus melonjak kerana faktor bahan bakar petrol dan disel melibatkan pelbagai produk dan perkhidmatan. Yang mendapat kenaikan gaji tidak rasa menambah kerana dimakan inflasi, yang tidak bergaji lebih terbeban.

(ii) Rakyat diancam Bahaya-Bencana Jenayah

Rakyat dibala dengan bahaya-bencana jenayah khususnya ancaman terhadap golongan yang lemah seperti wanita dan kanak-kanak perempuan. Tidak ada yang berasa selamat dalam negara yang pihak keselamatannya kehilangan kepercayaan rakyat kerana rasuah dan diperkudakan pihak pemimpin politik tertinggi. Arwah adik Nurin dan kini adik Sharlinie adalah lambang ’mercu-tanda’ kegagalan pemerintahan untuk menjamin keselamatan rakyat.

(iii) Rakyat Dalam Bahaya-Bencana Rasuah

Kekayaan negara musnah dan ketirisan berbilion ringgit terus berlaku akibat rasuah dan penyalahgunaan kuasa sekaligus mendedah rakyat kepada segala bala-bencana rasuah; Bangunan seperti Martrade lama terbengkalai, tak kurang yang bocor dan roboh. Kemalangan meragut nyawa di jalanraya dan lebuhraya yang tidak selamat dan menjadi lebih parah dengan pemandu hilang kelayakan yang masih memandu. Kebanjiran warga dan pekerja asing ’haram’ menjadikan kebejatan sosial dan jenayah semakin parah. Kesemuanya adalah akibat rencam rasuah yang membarah. Hilang ’barakah’ hidup sebaliknya mengundang pelbagai bala dan bencana Allah ke atas rakyat dan negara!


(iv) Rakyat Dibelenggu Ketakutan Dengan Akta-Akta Zalim

Rakyat dibelenggu dengan rasa takut untuk mendapatkan maklumat. Maklumat adalah penting bagi memahami urus-tadbir negara yang melibatkan kepentingan rakyat. Pelbagai undang-undang dan akta zalim seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPA) mengekang pengetahuan rakyat. Media perdana pula menyogokkan maklumat yang hanya mewakili kepentingan pemerintah dan tidak ada ruang bagi memuatkan pandangan lain. Hak asasi rakyat tidak dibela dan kini semakin ditakutkan dengan pelbagai ugutan.

(v) Keselamatan Negara Turut Terancam

Juga turut terjejas adalah keselamatan negara seperti yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara. Apabila helikopter Mi-171 gagal digunakan akibat tidak mematuhi piawaian, ia sekaligus menggagalkan pihak PDRM menjalankan tugas serta memerlukan peruntukan lain yang menelan RM272 juta lagi. Lebih mengaibkan ialah perolehan Kapal Peronda Tentera Laut DiRaja yang sarat dengan pelbagai kepincangan dan pengurusan yang tempang sehingga menelan tambahan belanja sebanyak RM1.4 bilion.

Kini kerajaan Umno/BN ditanggapi umum sebagai hanya mementingkan kelompok dan tembolok sendiri seperti yang jelas didedahkan media perdana sendiri dalam pelbagai pendedahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang mengaibkan. Janji dimungkiri sementara amanah diabaikan dan kebajikan rakyat terkorban.

Justeru itu, PAS menawarkan Manifesto yang mengangkat tema ”Negara Berkebajikan” yang dibina di atas teras serta paksi ”Kerajaan Adil, Bersih dan Beramanah”.

Sunday, 3 February 2008

Sejarah Pendidikan Percuma

Pendidikan percuma dalam sebuah Negara Kebajikan bermaksud, perkhidmatan pendidikan diberikan secara percuma daripada peringkat rendah sehingga peringkat tinggi termasuk Ijazah Lanjutan. Perkhidmatan ini juga mungkin diberikan kepada rakyat asing yang ditawarkan menuntut di negara tersebut. Bagaimanapun penyediaan perkhidmatan pendidikan percuma ini selalunya tidak termasuk sara hidup dan lain-lain keperluan hidup seseorang pelajar. Pelajar atau mahasiswa bertanggungjawab sendiri untuk menyara kehidupannya sama ada melalui pembiayaan sendiri, keluarga, penajaan atau pinjaman. Demikianlah polisi yang berkaitan dengan pendidikan percuma yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara yang berorientasikan Negara Kebajikan.

Sebenarnya pelaksanaan pendidikan percuma ini bukanlah satu perkara baru. Dalam sejarah ketamadunan Islam, pendidikan percuma ini telah diberikan dari peringkat rendah sehingga peringkat tinggi. Sebagai contoh semasa pemerintahan Bani Abbasiyah di Baghdad, pendidikan percuma telah diberikan sehingga menjadikan kota Baghdad sebagai pusat tumpuan para penuntut ilmu dari seluruh dunia. Demikian juga dengan pemerintahan Islam di Andalus, telah memberikan pendidikan percuma sehingga ramai penuntut ilmu dari Eropah berhijrah ke sana. Sehingga hari ini masih terdapat beberapa universiti di negara-negara dunia Islam yang mewarisi pendidikan percuma ini termasuklah Universiti Al-Azhar. Beberapa sumber digunakan untuk pembiayaan pendidikan percuma ini termasuklah wakaf, zakat dan sedekah.

Pendidikan percuma diberikan oleh kerajaan sesebuah Negara Kebajikan kerana ia dilihat sebagai keperluan asasi bagi setiap rakyat. Perkembangan dasar Liberalisme yang menjadi pegangan negara-negara moden mengkehendaki kerajaan bersifat lepas tangan (Laissez Faire) bermula dalam Ekonomi kemudiannya menghakis kepada beberapa keperluan asasi rakyat seperti pendidikan. Di kebanyakan negara yang mengamalkan dasar itu, menganggap pendidikan tinggi bukanlah keperluan asasi rakyat, justeru kerajaan tidak bertanggungjawab menyediakannya secara percuma. Lewat kurun ke-20, pendidikan tinggi ini dilihat sebagai peluang yang baik untuk sumber pendapatan negara, malah sebagai sebagai komoditi dagangan khususnya bagi golongan Neo-Liberalisme.

Di Malaysia, penggubalan akta-akta berkaitan pendidikan pada pertengahan dekad 1990-an salah satunya mempunyai tujuan ini. Malaysia dilihat menuruti beberapa negara seperti Australia menjadikan pendidikan tinggi ini peluang untuk menambahkan pendapatan negara melalui kutipan yuran dan seumpamanya. Bagaimanapun masih terdapat banyak negara yang mengekalkan pelaksanaan pendidikan percuma sehingga peringkat pendidikan tinggi seperti negara-negara Sweden, Norway, Finland dan lain-lain di Eropah, Arab Saudi, Kuwait dan lain-lain dari kalangan negara pengeluar Minyak, Cuba sebuah negara Sosialis serta Sri Lanka sebuah negara membangun. Hakikat ini menunjukkan bahawa pendidikan percuma ini tidak semestinya dilaksanakan hanya oleh negara-negara kaya.

Wednesday, 30 January 2008

Peranan Kerajaan Dalam Negara Kebajikan

Selalu dipersoalkan bagaimanakah kerajaan dalam sesebuah Negara Kebajikan khususnya yang berkaitan dengan kegiatan ekonomi. Sebagaimana yang dimaklumi, Negara Kebajikan adalah negara yang kerajaannya mengambil tanggungjawab aktif untuk menjaga keselamatan sosial dan kebajikan rakyatnya, manakala dalam kegiatan ekonomi mereka bersifat pasif dengan memberikan kebebasan kepada kegiatan pasaran dan dagangan. Peranan ini berbeza dengan Negara Sosialis yang mengawal semua aspek kehidupan termasuklah kegiatan pasaran dan dagangan. Demikian juga berbeza dengan Negara Liberalis yang memberi kebebasan pada semua aspek kehidupan sehingga aspek keselamatan sosial dan kebajikanpun menjadi komoditi perniagaan.

Dalam sebuah Negara Kebajikan, kerajaannya mengambil tangggungjawab dalam hal keselamatan sosial dan kebajikan bermula dengan mengenalpasti keperluan-keperluan asas rakyat dan sektor-sektor kebajikan yang utama. Perkara-perkara yang berkaitan dengan keperluan asas dan sektor kebajikan tidak boleh dijadikan sumber untuk mencari keuntungan, sebaliknya ia termasuk dalam tanggungjawab asasi Kerajaan. Kerajaan tidak boleh 'berniaga' dengan rakyat dalam melaksanakan tanggungjawab ini. Sebagai contohnya kesihatan dan pendidikan, sektor ini adalah tanggungjawab asasi kerajaan yang perlu diberikan kepada rakyat secara percuma. Kebanyakan negara-negara yang komited dengan Negara Kebajikan memberikan perkhidmatan secara percuma seperti German dalam sektor pendidikan dan United Kingdom dalam sektor kesihatan.

Cuba sebuah Negara Sosialis, kerajaannya bertanggungjawab penuh terhadap keperluan dan kebajikan rakyatnya. Pemimpin Cuba, Castro mendakwa perkhidmatan kesihatan di Cuba lebih baik daripada Amerika Syarikat antaranya nisbah seorang doktor dengan rakyat. Manakala Amerika Syarikat pula telah menjadikan keperluan dan kebajikan rakyatnya sebagai komoditi perniagaan terutama selepas kembalinya polisi Liberalisme Klasik (Neo-liberalisme). Setiap rakyat di Amerika Syarikat perlu membeli insuran berkaitan dengan kesihatan bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang memakan kos yang tinggi. Akan tetapi dengan menjadikan ia sebagai perniagaan, perkhidmatan kesihatan di Amerika Syarikat tidaklah lebih baik daripada negara-negara lain.

Perkara-perkara yang tidak termasuk dalam keperluan asas dan sektor kebajikan utama, kerajaan sesebuah Negara Kebajikan membuka kepada pasaran dan dagangan bebas. Dalam konteks ini Kerajaan hanya berperanan untuk memastikan tidak berlaku monopoli perniagaan, konspirasi menentukan harga, persaingan berat sebelah dan lain-lain gejala tidak sihat dalam pasaran dan dagangan bebas. Dengan membebaskan pasaran dan dagangan ini, rakyat berpeluang mendapat barangan dan perkhidmatan berkualiti yang murah. Pada masa yang sama juga, kerajaan boleh menumpukan kepada tanggungjawab mereka menjaga keselamatan dan kebajikan rakyatnya. Amalan seumpama ini tidak terdapat dalam Negara-negara Sosialis seperti Cuba.

Adapun di Malaysia peranan Kerajaan begitu celaru. Kerajaan telah dan sedang melepaskan tanggungjawabnya terhadap keperluan asas dan sektor kebajikan utama dengan menjadikan Amerika Syarikat sebagai model. Sebagai contohnya Dasar Penswastaan dilihat mengambil pendekatan Amerika Syarikat khususnya semenjak zaman Reagan lagi. Sektor Pendidikan di Malaysia telah memasuki fasa Liberalisasi khususnya selepas tahun 1996, manakala sektor kesihatan diyakini akan menurui jejak Amerika Syarikat sekiranya BN memenangi pilihanraya akan datang. Sebaliknya dalam sektor yang sepatutnya dibebaskan untuk pasaran dan dagangan, Kerajaan Malaysia bertindak agak mengawalnya pula. Sebagai contoh dalam memberikan perkhidmatan telekomunikasi, berlaku campurtangan yang boleh menjejaskan kebebasan pasaran dan dagangan.

Monday, 28 January 2008

Negara Kebajikan Di Dalam Al-Quran

Konsep Negara Kebajikan masa kini yang selalu didefinisikan sebagai 'a political system assuming state responsibility for the protection and promotion of social security and welfare of its citizens' sebenarnya telah dikemukakan lebih dahulu oleh al-Quran. Sekiranya dirujuk kepada al-Quran bilamana kitab suci itu berbicara tentang kenegaraan, diketengahkan beberapa konsep kenegaraan seperti Negara Kemakmuran dan Negara Kebajikan. Berhubung dengan Negara Kebajikan ini, Allah swt berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 126:


Dan ingatlah ketika Ibrahim berdoa wahai Tuhanku jadikanlah bumi ini (Mekah) aman dan kurniakanlah rezeki daripada hasil-hasil buahan kepada penduduknya dari kalangan yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat, Allah berfirman: Malah kepada orang Kafir juga kami kurniakan kesenangan di dunia ini, kemudian di hari Akhirat nanti mereka akan dikerahkan ke Neraka, dan ia adalah seburuk-buruk tempat kembali.


Ayat di atas dapat menerangkan kepada kita bahawa konsep Negara Kebajikan yang menjamin keselamatan sosial dan kebajikan rakyat adalah merupakan perkara yang turut dipohon oleh para Nabi sepertimana doa Nabi Ibrahim tersebut. Selain daripada itu keselamatan sosial dan kebajikan dalam sesebuah negara itu akan wujud dengan jaminan daripada Allah swt, atau dengan perkataan lain apabila hukum-hukum Allah swt itu ditegakkan. Sesungguhnya Allah swt lah yang menjamin keselamatan sosial dan kebajikan dalam sesebuah negara sebagaimana Firmannya dalam Surah Quraysh ayat 3-4:


Maka tunduklah menyembah Tuhan yang empunya rumah ini (Masjid al-Haram), yang memberi mereka makan dari kelaparan dan memberi keamanan dari ketakutan.


Jelas ayat di atas menekankan tentang dua perkara penting dalam sesebuah Negara Kebajikan iaitu keselamatan sosial dan kebajikan kepada rakyat. Negara Kebajikan yang ditunjukkan oleh al-Quran ini adalah negara yang melaksanakan suruhan Allah swt dan meninggalkan larangannya, maka dengan ketundukan tersebut Allah swt menjamin keselamatan sosial dan kebajikan kepada rakyatnya.

Sunday, 27 January 2008

The Development of Welfare State

Modern welfare states developed through a gradual process beginning in the late 19th century and continuing through the 20th. They differed from previous schemes of poverty relief due to their relatively universal coverage. The development of social insurance in Germany under Bismarck was particularly influential. Some schemes, like those in Scandinavia, were based largely in the development of autonomous, mutualist provision of benefits. Others were founded on state provision. The term was not, however, applied to all states offering social protection. The sociologist T.H. Marshall identified the welfare state as a distinctive combination of democracy, welfare and capitalism.

Examples of early welfare states in the modern world are Germany, all of the Nordic Countries, the Netherlands, Uruguay and New Zealand in the 1930s. Germany is generally held to be the first social welfare state. Changed attitudes in reaction to the Great Depression were instrumental in the move to the welfare state in many countries, a harbinger of new times where "cradle-to-grave" services became a reality after the poverty of the Depression. During the Great Depression, it was seen as an alternative "middle way" between communism and capitalism. In the period following the Second World War, many countries in Europe moved from partial or selective provision of social services to relatively comprehensive coverage of the population.

The activities of present-day welfare states extend to the provision of both cash welfare benefits (such as old-age pensions or unemployment benefits) and in-kind welfare services (such as health or childcare services). Through these provisions, welfare states can affect the distribution of wellbeing and personal autonomy among their citizens, as well as influencing how their citizens consume and how they spend their time.

After the discovery and inflow of the oil revenue, Saudi Arabia, Kuwait, Qatar, Bahrain, Oman and the United Arab Emirates all became welfare states. However, the services are strictly for citizens and these countries do not accept immigrants; those born in these countries do not qualify for citizenship unless they are of the parentage belonging to their respective countries.

In the United Kingdom, the beginning of the modern welfare state was in 1911 when David Lloyd George suggested everyone in work should pay national insurance contribution for unemployment and health benefits from work.

In 1942, the 'Social Insurance and Allied Services' was created by Sir William Beveridge in order to aid those who were in need of help, or in poverty. Beveridge worked as a volunteer for the poor, and set up national insurance. He stated that 'All people of working age should pay a weekly national insurance contribution. In return, benefits would be paid to people who were sick, unemployed, retired or widowed.' The basic assumptions of the report were the National Health Service, which provided free health care to the UK. The Universal Child Benefit was a scheme to give benefits to parents, encouraging people to have children by enabling them to feed and support a family. This was particularly beneficial after the second world war when the population of the United Kingdom declined. Universal Child Benefit provided encouragement for new babies, which sparked the Baby boom. The impact of the report was huge and 600,000 copies were made. He recommended to the government that they should find ways of tackling the five giants, being Want, Disease, Ignorance, Squalor and Idleness. He argued to cure these problems, the government should provide adequate income to people, adequate health care, adequate education, adequate housing and adequate employment. Before 1939, health care had to be paid for, this was done through a vast network of friendly societies, trade unions and other insurance companies which counted the vast majority of the UK working population as members. These friendly societies provided insurance for sickness, unemployment and invalidity, therefore providing people with an income when they were unable to work. But because of the 1942 Beveridge Report, in 5th July 1948, the National Insurance Act, National Assistance Act and National Health Service Act came into force, thus this is the day that the modern UK welfare state was founded.

Sumber: English Wikipedia

Saturday, 26 January 2008

Asal-usul Negara Kebajikan Zaman Kini

Dalam konteks masa kini Negara Kebajikan adalah satu konsep ketatanegaraan yang bersifat sederhana di antara dua polar yang ekstrim iaitu negara Liberalisme dan negara Sosialism. Pada akhir kurun ke-19 sehingga pertengahan kurun ke-20, negara-negara dunia secara umumnya terbahagi kepada dua iaitu Blok Barat merujuk kepada negara-negara yang berdasarkan kepada Liberalisme dan Blok Timur merujuk kepada negara-negara yang berdasarkan kepada Sosialisme. Kewujudan kedua-kedua blok ini telah mencetuskan satu bentuk ketegangan yang kemudiannya dikenali dengan 'Perang Dingin' atau Cold War. Negara-negara yang dilihat tidak mahu terlibat ataupun terbabit dengan ketegangan tersebut mengambil jalan tengah untuk berkecuali sehingga akhirnya mewujudkan pula Blok Negara-negara Berkecuali.

Negara Kebajikan bukanlah merujuk kepada negara-negara berkecuali ini kerana di kalangan negara-negara berkecuali itu sendiri ada yang cenderung kepada Liberalisme dan Sosialisme atau paling tidak bersifat pragmatis terhadap kedua-dua sistem ketatanegaraan tersebut. Manakala Negara Kebajikan mengenengahkan sistem ketetanegaraan yang berbeza yang dilihat pertengahan antara Liberalisme dan Sosialisme. Kemunculan sistem ketatanegaraan ini adalah natijah daripada usaha-usaha yang berterusan untuk mereformasikan sistem Liberalisme yang digunakan dengan rakus oleh golongan pemodal memunggah sumber-sumber bumi untuk sekelompok manusia. Reformasi ini telah cuba menghakiskan amalan lepas tangan pihak Kerajaan sehingga memerlukan mereka campurtangan dalam urusan-urusan yang melibatkan rakyat teramai.

Manakala reformasi juga turut berlaku dalam sistem Sosialisme yang langsung menyekat pemilikan persendirian dan kebebasan pasaran. Malah yang lebih penting reformasi ini telah meruntuhkan amalan Despotisme yang begitu sinonim dengan negara-negara yang mengamalkan Sosialisme sebelum ini. Negara-negara yang bersifat kuku besi ini dilihat semakin membuka pintu kepada demokrasi yang meletakkan suara rakyat mengatasi kuasa sekelompok kecil atau kuasa individu yang mengetuai negara. Kedua-dua reformasi ini seolah-olah bertemu sehingga mewujudkan satu negara bentuk baru yang meletakkan kepentingan rakyat teramai sebagai keutamaan, tetapi pada masa yang sama tidak menafikan hak setiap individu atau kumpulan untuk memiliki pemilikan peribadi berupa kekayaan.

Bermula dari sinilah iaitu pada separuh kedua kurun ke-20, munculnya satu bentuk ketatanegaraan baru yang tidak Liberalisme dan tidak Sosialisme, sebaliknya bersifat pertengahan antara keduanya. Fenomena ini disifatkan oleh sebahagian pemikir sebagai berakhirnya ideologi (the end of ideology), iaitu peranan ideologi untuk menentukan sesebuah sistem ketatanegaraan tidak lagi signifikan sebaliknya kepentingan rakyat itulah yang menjadi teras utama. Kepentingan rakyat itu dapat diterjemahkan melalui amalan demokrasi yang memberi ruang kepada rakyat melalui masyarakat sivil untuk bersuara. Bagi sebahagian yang lain pula melihat fenomena ini sebagai pengaruh Post-Mordenism yang telah mencorakkan kembali pemikiran zaman moden di Barat dalam semua aspek sosial, ekonomi dan politik.

Kemunculan negara kebajikan pada zaman kini mula dilihat di Eropah khususnya selepas Perang Dunia Kedua sebagai natijah daripada latar belakang yang dinyatakan. Sistem ketatanegaraan ini mula diserapkan amalannya dalam negara-negara yang sebelumnya dilihat mengamalkan sama ada Liberalisme atau Sosialisme. Beberapa negara yang begitu cenderung melaksanakannya ialah Jerman, United Kingdom dan New Zealand. Manakala dalam kelompok dunia Islam, negara-negara yang mempunyai hasil bumi yang kaya sedangkan populasinya kecil seperti Arab saudi, Kuwait dan UAE cuba melaksanakan bebarapa amalan yang bersifat negara kebajikan walaupun dari segi sistem politiknya masih bersifat monarki. Konsep Negara Kebajikan ini kemungkinan akan menjadi saingan tunggal kepada sistem Liberalisme setelah saingan lama Liberalisme iaitu Sosialisme semakin kurang berpengaruh.