Konsep Negara Kebajikan masa kini yang selalu didefinisikan sebagai 'a political system assuming state responsibility for the protection and promotion of social security and welfare of its citizens' sebenarnya telah dikemukakan lebih dahulu oleh al-Quran. Sekiranya dirujuk kepada al-Quran bilamana kitab suci itu berbicara tentang kenegaraan, diketengahkan beberapa konsep kenegaraan seperti Negara Kemakmuran dan Negara Kebajikan. Berhubung dengan Negara Kebajikan ini, Allah swt berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 126:
Dan ingatlah ketika Ibrahim berdoa wahai Tuhanku jadikanlah bumi ini (Mekah) aman dan kurniakanlah rezeki daripada hasil-hasil buahan kepada penduduknya dari kalangan yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat, Allah berfirman: Malah kepada orang Kafir juga kami kurniakan kesenangan di dunia ini, kemudian di hari Akhirat nanti mereka akan dikerahkan ke Neraka, dan ia adalah seburuk-buruk tempat kembali.
Ayat di atas dapat menerangkan kepada kita bahawa konsep Negara Kebajikan yang menjamin keselamatan sosial dan kebajikan rakyat adalah merupakan perkara yang turut dipohon oleh para Nabi sepertimana doa Nabi Ibrahim tersebut. Selain daripada itu keselamatan sosial dan kebajikan dalam sesebuah negara itu akan wujud dengan jaminan daripada Allah swt, atau dengan perkataan lain apabila hukum-hukum Allah swt itu ditegakkan. Sesungguhnya Allah swt lah yang menjamin keselamatan sosial dan kebajikan dalam sesebuah negara sebagaimana Firmannya dalam Surah Quraysh ayat 3-4:
Maka tunduklah menyembah Tuhan yang empunya rumah ini (Masjid al-Haram), yang memberi mereka makan dari kelaparan dan memberi keamanan dari ketakutan.
Jelas ayat di atas menekankan tentang dua perkara penting dalam sesebuah Negara Kebajikan iaitu keselamatan sosial dan kebajikan kepada rakyat. Negara Kebajikan yang ditunjukkan oleh al-Quran ini adalah negara yang melaksanakan suruhan Allah swt dan meninggalkan larangannya, maka dengan ketundukan tersebut Allah swt menjamin keselamatan sosial dan kebajikan kepada rakyatnya.
No comments:
Post a Comment