Wednesday 30 January 2008

Peranan Kerajaan Dalam Negara Kebajikan

Selalu dipersoalkan bagaimanakah kerajaan dalam sesebuah Negara Kebajikan khususnya yang berkaitan dengan kegiatan ekonomi. Sebagaimana yang dimaklumi, Negara Kebajikan adalah negara yang kerajaannya mengambil tanggungjawab aktif untuk menjaga keselamatan sosial dan kebajikan rakyatnya, manakala dalam kegiatan ekonomi mereka bersifat pasif dengan memberikan kebebasan kepada kegiatan pasaran dan dagangan. Peranan ini berbeza dengan Negara Sosialis yang mengawal semua aspek kehidupan termasuklah kegiatan pasaran dan dagangan. Demikian juga berbeza dengan Negara Liberalis yang memberi kebebasan pada semua aspek kehidupan sehingga aspek keselamatan sosial dan kebajikanpun menjadi komoditi perniagaan.

Dalam sebuah Negara Kebajikan, kerajaannya mengambil tangggungjawab dalam hal keselamatan sosial dan kebajikan bermula dengan mengenalpasti keperluan-keperluan asas rakyat dan sektor-sektor kebajikan yang utama. Perkara-perkara yang berkaitan dengan keperluan asas dan sektor kebajikan tidak boleh dijadikan sumber untuk mencari keuntungan, sebaliknya ia termasuk dalam tanggungjawab asasi Kerajaan. Kerajaan tidak boleh 'berniaga' dengan rakyat dalam melaksanakan tanggungjawab ini. Sebagai contohnya kesihatan dan pendidikan, sektor ini adalah tanggungjawab asasi kerajaan yang perlu diberikan kepada rakyat secara percuma. Kebanyakan negara-negara yang komited dengan Negara Kebajikan memberikan perkhidmatan secara percuma seperti German dalam sektor pendidikan dan United Kingdom dalam sektor kesihatan.

Cuba sebuah Negara Sosialis, kerajaannya bertanggungjawab penuh terhadap keperluan dan kebajikan rakyatnya. Pemimpin Cuba, Castro mendakwa perkhidmatan kesihatan di Cuba lebih baik daripada Amerika Syarikat antaranya nisbah seorang doktor dengan rakyat. Manakala Amerika Syarikat pula telah menjadikan keperluan dan kebajikan rakyatnya sebagai komoditi perniagaan terutama selepas kembalinya polisi Liberalisme Klasik (Neo-liberalisme). Setiap rakyat di Amerika Syarikat perlu membeli insuran berkaitan dengan kesihatan bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang memakan kos yang tinggi. Akan tetapi dengan menjadikan ia sebagai perniagaan, perkhidmatan kesihatan di Amerika Syarikat tidaklah lebih baik daripada negara-negara lain.

Perkara-perkara yang tidak termasuk dalam keperluan asas dan sektor kebajikan utama, kerajaan sesebuah Negara Kebajikan membuka kepada pasaran dan dagangan bebas. Dalam konteks ini Kerajaan hanya berperanan untuk memastikan tidak berlaku monopoli perniagaan, konspirasi menentukan harga, persaingan berat sebelah dan lain-lain gejala tidak sihat dalam pasaran dan dagangan bebas. Dengan membebaskan pasaran dan dagangan ini, rakyat berpeluang mendapat barangan dan perkhidmatan berkualiti yang murah. Pada masa yang sama juga, kerajaan boleh menumpukan kepada tanggungjawab mereka menjaga keselamatan dan kebajikan rakyatnya. Amalan seumpama ini tidak terdapat dalam Negara-negara Sosialis seperti Cuba.

Adapun di Malaysia peranan Kerajaan begitu celaru. Kerajaan telah dan sedang melepaskan tanggungjawabnya terhadap keperluan asas dan sektor kebajikan utama dengan menjadikan Amerika Syarikat sebagai model. Sebagai contohnya Dasar Penswastaan dilihat mengambil pendekatan Amerika Syarikat khususnya semenjak zaman Reagan lagi. Sektor Pendidikan di Malaysia telah memasuki fasa Liberalisasi khususnya selepas tahun 1996, manakala sektor kesihatan diyakini akan menurui jejak Amerika Syarikat sekiranya BN memenangi pilihanraya akan datang. Sebaliknya dalam sektor yang sepatutnya dibebaskan untuk pasaran dan dagangan, Kerajaan Malaysia bertindak agak mengawalnya pula. Sebagai contoh dalam memberikan perkhidmatan telekomunikasi, berlaku campurtangan yang boleh menjejaskan kebebasan pasaran dan dagangan.