Pendidikan percuma dalam sebuah Negara Kebajikan bermaksud, perkhidmatan pendidikan diberikan secara percuma daripada peringkat rendah sehingga peringkat tinggi termasuk Ijazah Lanjutan. Perkhidmatan ini juga mungkin diberikan kepada rakyat asing yang ditawarkan menuntut di negara tersebut. Bagaimanapun penyediaan perkhidmatan pendidikan percuma ini selalunya tidak termasuk sara hidup dan lain-lain keperluan hidup seseorang pelajar. Pelajar atau mahasiswa bertanggungjawab sendiri untuk menyara kehidupannya sama ada melalui pembiayaan sendiri, keluarga, penajaan atau pinjaman. Demikianlah polisi yang berkaitan dengan pendidikan percuma yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara yang berorientasikan Negara Kebajikan.
Sebenarnya pelaksanaan pendidikan percuma ini bukanlah satu perkara baru. Dalam sejarah ketamadunan Islam, pendidikan percuma ini telah diberikan dari peringkat rendah sehingga peringkat tinggi. Sebagai contoh semasa pemerintahan Bani Abbasiyah di Baghdad, pendidikan percuma telah diberikan sehingga menjadikan kota Baghdad sebagai pusat tumpuan para penuntut ilmu dari seluruh dunia. Demikian juga dengan pemerintahan Islam di Andalus, telah memberikan pendidikan percuma sehingga ramai penuntut ilmu dari Eropah berhijrah ke sana. Sehingga hari ini masih terdapat beberapa universiti di negara-negara dunia Islam yang mewarisi pendidikan percuma ini termasuklah Universiti Al-Azhar. Beberapa sumber digunakan untuk pembiayaan pendidikan percuma ini termasuklah wakaf, zakat dan sedekah.
Pendidikan percuma diberikan oleh kerajaan sesebuah Negara Kebajikan kerana ia dilihat sebagai keperluan asasi bagi setiap rakyat. Perkembangan dasar Liberalisme yang menjadi pegangan negara-negara moden mengkehendaki kerajaan bersifat lepas tangan (Laissez Faire) bermula dalam Ekonomi kemudiannya menghakis kepada beberapa keperluan asasi rakyat seperti pendidikan. Di kebanyakan negara yang mengamalkan dasar itu, menganggap pendidikan tinggi bukanlah keperluan asasi rakyat, justeru kerajaan tidak bertanggungjawab menyediakannya secara percuma. Lewat kurun ke-20, pendidikan tinggi ini dilihat sebagai peluang yang baik untuk sumber pendapatan negara, malah sebagai sebagai komoditi dagangan khususnya bagi golongan Neo-Liberalisme.
Di Malaysia, penggubalan akta-akta berkaitan pendidikan pada pertengahan dekad 1990-an salah satunya mempunyai tujuan ini. Malaysia dilihat menuruti beberapa negara seperti Australia menjadikan pendidikan tinggi ini peluang untuk menambahkan pendapatan negara melalui kutipan yuran dan seumpamanya. Bagaimanapun masih terdapat banyak negara yang mengekalkan pelaksanaan pendidikan percuma sehingga peringkat pendidikan tinggi seperti negara-negara Sweden, Norway, Finland dan lain-lain di Eropah, Arab Saudi, Kuwait dan lain-lain dari kalangan negara pengeluar Minyak, Cuba sebuah negara Sosialis serta Sri Lanka sebuah negara membangun. Hakikat ini menunjukkan bahawa pendidikan percuma ini tidak semestinya dilaksanakan hanya oleh negara-negara kaya.