Friday 22 February 2008

Cukai di Malaysia Berbanding Negara-negara Kebajikan

Selalu dicanangkan oleh pimpinan BN dan tokoh-tokoh perseorangan yang dungu, bahawa dengan melaksanakan Negara Kebajikan di Malaysia negara akan bangkrap atau muflis. Mereka menyebut bahawa sekiranya PAS hendak melaksanakan Negara Kebajikan maka sudah tentu cukai yang dikenakan kepada rakyat akan meningkat. Kesemua kenyataan tersebut cuba membohongi rakyat kerana cukai yang telah sedia ada di Malaysia sememangnya telah tinggi malah kadang-kadang lebih tinggi daripada negara-negara yang melaksanakan konsep Negara Kebajikan. Di sini didedahkan tentang perbandingan cukai yang dikenakan kepada rakyat Malaysia berbanding dengan cukai di negara-negara yang diperakui sebagai Negara Kebajikan iaitu Sweden, United Kingdom (UK), Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Keempat-empat negara diperakui telah melaksanakan agenda-agenda bagi sebuah Negara Kebajikan sama ada kepada rakyatnya atau termasuk rakyat asing yang bermastautin di sana.

a. Cukai Syarikat atau Korporat.

Malaysia (28%)
Sweden (28%)
UK (30%)
Arab Saudi (20%)
UAE (0%)

Berdasarkan fakta di atas jelas menunjukkan bahawa cukai syarikat di Malaysia tidak jauh bezanya dengan cukai syarikat di negara-negara yang melaksanakan konsep Negara Kebajikan, malah bagi Arab Saudi yang penduduk hampir sama jumlah dengan penduduk Malaysia hanya mengenakan cukai syarikat sebanyak 20%. Manakala UAE langsung tidak mengenakan cukai syarikat. Walaupun kedua-dua negara ini kaya dengan Petroleum, dari segi KDNK mereka tidaklah begitu jauh dengan Malaysia yang berada di tangga ke-39, manakala UAE di tangga ke-38 dan Arab Saudi di tangga ke-25. Walaupun diakui bahawa KDNK perkapita kedua-dua negara ini lebih tinggi, tetapi dengan cukai yang rendah sehingga 0% dan pada masa yang sama diwujudkan pula agenda-agenda Negara Kebajikan menunjukkan pengagihan kekayaan negara mereka lebih baik daripada Malaysia.

b. Cukai Individu

Malaysia (0-28%)
Sweden (0-56%)
UK (0-40%)
Arab Saudi (20%)
UAE (0%)

Berdasarkan fakta di atas jelas menunjukkan bahawa kadar cukai di negara-negara yang mengamalkan konsep Negara Kebajikan tidak begitu berbeza dengan Malaysia. Di Sweden kadar maksima cukainya mencecah sehingga 56%, manakala di UK kadar cukai maksimanya mencecah sehingga 40% sebagai kadar yang munasabah dikenakan kepada golongan-golongan terkaya. Walaupun kelihatan kadar cukainya agak tinggi tetapi sebenarnya ia tidak begitu membebankan rakyat. Sebagai contoh di UK seseorang yang berpendapatan kurang daripada £5525 setahun dikecualikan daripada membayar cukai. Nilai kuasa beli £5525 atau sekitar £460 sebulan ini sebenarnya sudah cukup besar. Pendapatan bulanan £460 ini sudah mencukupi menampung hidup seseorang individu di UK. Harga barangan makanan di UK adalah begitu murah jika dinisbahkan kepada pendapatan £460 sebulan ini. Contohnya harga sebungkus roti boleh dibeli dengan kadar serendah £0.28, beras sekilo serendah £0.60 dan ayam seekor serendah £1.40. Malah kereta Proton Wira terpakai di UK boleh dibeli dengan harga serendah sekitar £300-400. Bagi mereka yang berpendapatan sehingga £39500 setahun dikenakan cukai antara 10-22% iaitu kadar yang tidak jauh berbeza dengan Malaysia. Fakta-fakta ini menunjukkan bahawa kadar cukai di UK yang melaksanakan konsep Negara Kebajikan tidaklah begitu berbeza dengan Malaysia. Manakala bagi kedua-dua negara Arab Saudi dan UAE sememangnya jaub lebih rendah daripada Malaysia.

c. Cukai Jualan dan Perkhidmatan

Malaysia (0-25%)
Sweden (25%)
UK (17.5%)
Arab Saudi (0%)
UAE (0%)

Berdasarkan fakta di atas sekali lagi menunjukkan bahawa kadar cukai di Malaysia tidak begitu berbeza dengan kadar cukai di negara-negara yang melaksanakan konsep Negara Kebajikan. Malaysia sebenarnya mengenakan dua jenis cukai iaitu Cukai Jualan 0-25% dan Cukai Pekhidmatan 5%. Biasanya kadar Cukai Jualan di Malaysia ialah 10%, manakala terdapat barangan keperluan dan makanan dikenakan cukai 5%. Bagi Sweden dan UK ditetapkan kadar cukainya iaitu 25% dan 17.5% yang lebih dikenali dengan VAT (Value-Added Tax). Tetapi di Sweden dan UK tiada cukai tambahan seperti Cukai Perkhidmatan di Malaysia. Terdapat barangan-barangan tertentu yang bebas VAT seperti barangan makanan, buku-buku, pakaian kanak-kanak dan lain-lain. Oleh sebab itu, kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan di kedua-dua negara ini hampir sama dengan Malaysia, malah kadang-kadang lebih tidak membebankan. Manakala bagi negara Arab Saudi dan UAE tiada dikenakan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan.

Penjelasan tentang perbandingan cukai-cukai di atas membuktikan bahawa pelaksanaan sebuah Negara Kebajikan tidak semestinya melibatkan kenaikan cukai, malah kelihatan cukai yang dikenakan lebih tidak membebankan. Masalah utama untuk melaksanakan Negara Kebajikan di Malaysia bukannya kekurangan sumber pendapatan sebaliknya kegagalan Kerajaan BN menguruskan hasil cukai dengan telus dan amanah, sehingga kadar cukai tinggi yang dikenakan tidak memberikan pulangan kebajikan kepada seluruh rakyat.