Saturday, 26 January 2008

Asal-usul Negara Kebajikan Zaman Kini

Dalam konteks masa kini Negara Kebajikan adalah satu konsep ketatanegaraan yang bersifat sederhana di antara dua polar yang ekstrim iaitu negara Liberalisme dan negara Sosialism. Pada akhir kurun ke-19 sehingga pertengahan kurun ke-20, negara-negara dunia secara umumnya terbahagi kepada dua iaitu Blok Barat merujuk kepada negara-negara yang berdasarkan kepada Liberalisme dan Blok Timur merujuk kepada negara-negara yang berdasarkan kepada Sosialisme. Kewujudan kedua-kedua blok ini telah mencetuskan satu bentuk ketegangan yang kemudiannya dikenali dengan 'Perang Dingin' atau Cold War. Negara-negara yang dilihat tidak mahu terlibat ataupun terbabit dengan ketegangan tersebut mengambil jalan tengah untuk berkecuali sehingga akhirnya mewujudkan pula Blok Negara-negara Berkecuali.

Negara Kebajikan bukanlah merujuk kepada negara-negara berkecuali ini kerana di kalangan negara-negara berkecuali itu sendiri ada yang cenderung kepada Liberalisme dan Sosialisme atau paling tidak bersifat pragmatis terhadap kedua-dua sistem ketatanegaraan tersebut. Manakala Negara Kebajikan mengenengahkan sistem ketetanegaraan yang berbeza yang dilihat pertengahan antara Liberalisme dan Sosialisme. Kemunculan sistem ketatanegaraan ini adalah natijah daripada usaha-usaha yang berterusan untuk mereformasikan sistem Liberalisme yang digunakan dengan rakus oleh golongan pemodal memunggah sumber-sumber bumi untuk sekelompok manusia. Reformasi ini telah cuba menghakiskan amalan lepas tangan pihak Kerajaan sehingga memerlukan mereka campurtangan dalam urusan-urusan yang melibatkan rakyat teramai.

Manakala reformasi juga turut berlaku dalam sistem Sosialisme yang langsung menyekat pemilikan persendirian dan kebebasan pasaran. Malah yang lebih penting reformasi ini telah meruntuhkan amalan Despotisme yang begitu sinonim dengan negara-negara yang mengamalkan Sosialisme sebelum ini. Negara-negara yang bersifat kuku besi ini dilihat semakin membuka pintu kepada demokrasi yang meletakkan suara rakyat mengatasi kuasa sekelompok kecil atau kuasa individu yang mengetuai negara. Kedua-dua reformasi ini seolah-olah bertemu sehingga mewujudkan satu negara bentuk baru yang meletakkan kepentingan rakyat teramai sebagai keutamaan, tetapi pada masa yang sama tidak menafikan hak setiap individu atau kumpulan untuk memiliki pemilikan peribadi berupa kekayaan.

Bermula dari sinilah iaitu pada separuh kedua kurun ke-20, munculnya satu bentuk ketatanegaraan baru yang tidak Liberalisme dan tidak Sosialisme, sebaliknya bersifat pertengahan antara keduanya. Fenomena ini disifatkan oleh sebahagian pemikir sebagai berakhirnya ideologi (the end of ideology), iaitu peranan ideologi untuk menentukan sesebuah sistem ketatanegaraan tidak lagi signifikan sebaliknya kepentingan rakyat itulah yang menjadi teras utama. Kepentingan rakyat itu dapat diterjemahkan melalui amalan demokrasi yang memberi ruang kepada rakyat melalui masyarakat sivil untuk bersuara. Bagi sebahagian yang lain pula melihat fenomena ini sebagai pengaruh Post-Mordenism yang telah mencorakkan kembali pemikiran zaman moden di Barat dalam semua aspek sosial, ekonomi dan politik.

Kemunculan negara kebajikan pada zaman kini mula dilihat di Eropah khususnya selepas Perang Dunia Kedua sebagai natijah daripada latar belakang yang dinyatakan. Sistem ketatanegaraan ini mula diserapkan amalannya dalam negara-negara yang sebelumnya dilihat mengamalkan sama ada Liberalisme atau Sosialisme. Beberapa negara yang begitu cenderung melaksanakannya ialah Jerman, United Kingdom dan New Zealand. Manakala dalam kelompok dunia Islam, negara-negara yang mempunyai hasil bumi yang kaya sedangkan populasinya kecil seperti Arab saudi, Kuwait dan UAE cuba melaksanakan bebarapa amalan yang bersifat negara kebajikan walaupun dari segi sistem politiknya masih bersifat monarki. Konsep Negara Kebajikan ini kemungkinan akan menjadi saingan tunggal kepada sistem Liberalisme setelah saingan lama Liberalisme iaitu Sosialisme semakin kurang berpengaruh.

No comments: