Wednesday, 13 February 2008

Manifesto Negara Kebajikan PAS (1)

Manifesto Parti Islam Se-Malaysia (PAS) PRU ke-12

’Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih’
Negara Berkebajikan


Para Pengundi yang dihormati,

Menuntut Demokrasi Sebenar

Demokrasi bukan hanya pilihanraya. Demokrasi sebenar semesti mendukungi keluhuran undang-undang, keadilan capaian maklumat dan media serta menjalankan proses and sistem pilihanraya yang bebas, bersih dan adil.

Sesungguhnya demokrasi sebenar mengizinkan rakyat dan pengundi untuk menentukan kerajaan yang mereka mahu. Pilihanraya yang bebas, adil dan bersih menjamin kehendak rakyat tertunai. Andainya pilihanraya dipenuhi penipuan, kepincangan dan ketidakadilan, maka ia menjadikan hasrat rakyat untuk mengecapi demokrasi sebenar kecundang.

PAS Komited, Meskipun Pilihanraya Tempang dan Curang

PAS adalah parti Islam yang memperjuangkan dasar-dasar Islam serta nilai-nilai keadilan sejagat. PAS terus akan menyertai pilihanraya meskipun ia curang dan tempang, bagi memperjuangkan keadilan dan membenteras kezaliman dalam proses ’semak-imbang’ yang dianjurkan oleh Allah SWT sebagaimana yang termaktub dalam ayat Surah Al-Baqarah: ayat 251.

”Kalaulah Allah tidak menolak dan mengimbangi kezaliman sesetengah manusia dengan golongan lain, maka rosak dan musnahlah seluruh muka bumi ini”.

Sejak lebih 50 tahun, PAS telah membuktikan komitmen kami terhadap mempertahankan kedaulatan negara, kesejahteraan rakyat dan kesucian Islam, walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran getir, rintangan dan ujian bersaing di atas padang politik yang tidak sama-rata.

Negara Dalam Krisis

Menjelang pilihanraya ke-12 ini, negara terus dilingkungi krisis. Walaupun pemimpin Umno/BN bercakap tentang ’cemerlang, gemilang dan terbilang’, Allah SWT sebaliknya menempelak omongan ini dengan mendedahkan pelbagai kebejatan dan kebobrokan pemerintahan ini. Pembangunan dan kemajuan yang dimegah-megahkan, tidak dikecapi rakyat, sebaliknya rakyat diancam kadar jenayah yang menakutkan dan kos saraan hidup yang membebankan.

(i) Rakyat Terhempit Barang Naik

Rakyat kini dibeban kenaikan kos saraan hidup dan dihempit dengan kenaikan harga barang yang menyusahkan. Sementara pembangunan dikatakan pesat dan kemajuan dan pertumbuhan rancak, rakyat menanggung kesangsaraan kenaikan kos hidup akibat subsidi petrol dan disel ditarik-balik. Inflasi terus melonjak kerana faktor bahan bakar petrol dan disel melibatkan pelbagai produk dan perkhidmatan. Yang mendapat kenaikan gaji tidak rasa menambah kerana dimakan inflasi, yang tidak bergaji lebih terbeban.

(ii) Rakyat diancam Bahaya-Bencana Jenayah

Rakyat dibala dengan bahaya-bencana jenayah khususnya ancaman terhadap golongan yang lemah seperti wanita dan kanak-kanak perempuan. Tidak ada yang berasa selamat dalam negara yang pihak keselamatannya kehilangan kepercayaan rakyat kerana rasuah dan diperkudakan pihak pemimpin politik tertinggi. Arwah adik Nurin dan kini adik Sharlinie adalah lambang ’mercu-tanda’ kegagalan pemerintahan untuk menjamin keselamatan rakyat.

(iii) Rakyat Dalam Bahaya-Bencana Rasuah

Kekayaan negara musnah dan ketirisan berbilion ringgit terus berlaku akibat rasuah dan penyalahgunaan kuasa sekaligus mendedah rakyat kepada segala bala-bencana rasuah; Bangunan seperti Martrade lama terbengkalai, tak kurang yang bocor dan roboh. Kemalangan meragut nyawa di jalanraya dan lebuhraya yang tidak selamat dan menjadi lebih parah dengan pemandu hilang kelayakan yang masih memandu. Kebanjiran warga dan pekerja asing ’haram’ menjadikan kebejatan sosial dan jenayah semakin parah. Kesemuanya adalah akibat rencam rasuah yang membarah. Hilang ’barakah’ hidup sebaliknya mengundang pelbagai bala dan bencana Allah ke atas rakyat dan negara!


(iv) Rakyat Dibelenggu Ketakutan Dengan Akta-Akta Zalim

Rakyat dibelenggu dengan rasa takut untuk mendapatkan maklumat. Maklumat adalah penting bagi memahami urus-tadbir negara yang melibatkan kepentingan rakyat. Pelbagai undang-undang dan akta zalim seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPA) mengekang pengetahuan rakyat. Media perdana pula menyogokkan maklumat yang hanya mewakili kepentingan pemerintah dan tidak ada ruang bagi memuatkan pandangan lain. Hak asasi rakyat tidak dibela dan kini semakin ditakutkan dengan pelbagai ugutan.

(v) Keselamatan Negara Turut Terancam

Juga turut terjejas adalah keselamatan negara seperti yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara. Apabila helikopter Mi-171 gagal digunakan akibat tidak mematuhi piawaian, ia sekaligus menggagalkan pihak PDRM menjalankan tugas serta memerlukan peruntukan lain yang menelan RM272 juta lagi. Lebih mengaibkan ialah perolehan Kapal Peronda Tentera Laut DiRaja yang sarat dengan pelbagai kepincangan dan pengurusan yang tempang sehingga menelan tambahan belanja sebanyak RM1.4 bilion.

Kini kerajaan Umno/BN ditanggapi umum sebagai hanya mementingkan kelompok dan tembolok sendiri seperti yang jelas didedahkan media perdana sendiri dalam pelbagai pendedahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang mengaibkan. Janji dimungkiri sementara amanah diabaikan dan kebajikan rakyat terkorban.

Justeru itu, PAS menawarkan Manifesto yang mengangkat tema ”Negara Berkebajikan” yang dibina di atas teras serta paksi ”Kerajaan Adil, Bersih dan Beramanah”.

No comments: