Wednesday, 20 February 2008

Surat Hassan al-Basri Tentang Negara Kebajikan

Seperti yang tercatat dalam sejarah Islam, semasa zaman pemerintahan Umar bin Abdul Aziz ra, wilayah pentadbirannya berada dalam kemakmuran. Sehingga disebut apabila dicari golongan yang berhak menerima zakat, hampir sukar diperolehi. Pemerintahan Umar bin Abdul Aziz ini menjadi satu fakta sejarah yang kuat untuk menunjukkan bahawa pelaksanaan Islam boleh membawa kemakmuran. Umar bin Abdul Aziz semasa menjadi Gabenor Madinah sebelumnya dikenali sebagai seorang yang mewah sehingga sekiranya seseorang berada di pasar Madinah boleh mengetahui kehadiran beliau dengan mencium keharuman haruman yang digunakan. Akan tetapi apabila beliau dilantik menjadi Khalifah beliau telah mengembalikan harta-hartanya untuk kepentingan seluruh umat Islam. Oleh sebab itu asas terpenting kepada pelaksanaan Negara Kebajikan ialah kesederhanaan hidup pemimpinnya. Difahamkan bahawa surat Hassan al-Basri banyak memberi panduan kepada Umar bin Abdul Aziz dalam mentadbir wilayah kekuasaannya:

"Ketahuilah wahai Amiral Mukminin, sesungguhnya Allah menjadikan pemimpin yang adil sebagai yang meluruskan segala perlakuan yang menyimpang, menunjuki jalan kepada golongan yang melakukan kesalahan, mengislahkan golongan yang melakukan kerosakan, memperkuatkan golongan yang lemah, membela golongan dizalimi, memenuhi keperluan golongan yang meminta-minta. Dan pemimpin yang adil itu adalah seperti gembala yang pembelas atas gembalaannya, yang penyantun kepada gembalaannya. Dan pemimpin yang adil itu wahai Amiral Mukminin, seperti bapa yang penyayang terhadap anaknya..." (sebahagian petikan surat Hassan al-Basri kepada Umar bin Abdul Aziz)